Kembali....

Kehidupan 30-40 tahun lampau tidaklah semeriah sekarang mungkin. Namun, jika diberi peluang untuk kembali seketika ke zaman kanak-kanak dahulu, mungkin aku tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Hahaha…macam cerita Voyagers pulak. Mustahil bukan??

Kembali ke zaman kanak-kanak, walaupun mungkin selalu kena rotan oleh ibu kerana malas mengaji, mungkin kadang-kadang kena lempang dengan ayah kerana mandi sungai, mungkin risau kena ambil semula peperiksaan seperti Penilaian Darjah 5, SRP dan sebagainya, namun kebebasan dan keriangan di zaman tersebut mampu mengatasi segala kebimbangan.

Status budak kampong yang bergelumang dengan lumpur dan selut dipaya ketika menangkap ikan puyu atau sepat, meranduk tebing sungai mencari kijing atau etak, berkaki ayam menendang bola dipadang atau sekurang-kurangnya menaikkan kemarahan ayah dengan berkhemah semalaman ditepi sungai….semua ini mungkin sudah lama berlalu namun pasti masih kekal diingatan.

Ah…tidak betah aku untuk melupakan saat-saat kami hampir dijemput tuhan ketika lemas di sungai ketika leka mencari kijing. Namun, terima kasih tuhan kerana masih memberi kami peluang untuk terus bernafas.

Aduh…pedihnya sengatan tebuan tanah namun tidak pernah membuat kami serik untuk memancing di sungai akibat hebatnya penangan tarikan pancing ikan baung, terbul, tenggalan dan kaloi.

Bisanya sebatan rotan damar ibu tatkala terlupa pulang ketika bermain bola di padang. Namun, kami sedar bisa rotan inilah yang mengajar kami erti kehidupan yang sebenarnya. Sedar akan batas-batas yang tidak perlu kami lampaui.


Nyaris pitam akibat penangan lempangan ayah, tidak membuatkan kami terasa kurangnya kasih sayang. Kerana kami tahu ada nilai-nilai kasih disebalik itu.

Comments

Popular posts from this blog

Kembali

Mudah

Utusan Malaysia