Seorang Tua Di Hulu Sungai

Pagi masih terlalu muda ketika Pak Mat melangkah ke baruhnya.Sinar mentari masih samar-samar dilitupi banjaran gunung, deruan air sungai bagai mengiringi setiap langkahnya.

Sudah sepurnama Pak Mat berulang-alik setiap hari ke baruhnya. Selepas perahunya hanyut dibawa arus, hanya kebun sekangkang kera inilah yang menjadi temannya.Beliau tidak lagi ke sungai menangkap ikan dan udang galah.
Matahari hampir tegak di kepala tatkala Pak Mat berehat sebentar di pohon mengkudu di tepian sungai melepaskan lelah, sambil membasahkan tekak dan mengalas perut dengan ubi keledek rebus. Fikiran Pak Mat mula menerewang jauh, terkenangkan nostalgia dirinya. Setelah pemergian isterinya kira-kira 15 tahun lampau, tidak terdetik dihatinya untuk mencari pengganti. Hanya teratak serta kebun inilah yang menjadi kenangan abadi Pak Mat terhadap isterinya.Namun Pak Mat tidak mampu untuk mengalih ingatannya kepada Azri, anak tunggalnya.

Azri, ditatang dan dimanja bagai seorang raja. Apa jua yang dikehendakinya pasti dipenuhi oleh Pak Mat. Kini Azri bekerja dan menetap di Kuala Lumpur. Kali terakhir Azri pulang ke kampung menemuinya adalah 5 tahun yang lalu. Masih segar diingatan Pak Mat, dipagi syawal yang syahdu, beliau berselisih faham dengan Azri, sejak itu Azri tidak lagi pulang menjenguknya.

Pak Mat tersentak apabila terdengar laungan azan zohor dari madrasah berhampiran. "Ah….aku dah terlewat ni" ujarnya dalam hati sambil bergegas ke arah madrasah untuk menunaikan solat. Begitulah rutin Pak Mat seharian, beliau akan membersihkan dirinya di sungai dan terus ke madrasah untuk berjemaah.

Petang itu Azri rasa cukup gelisah, selepas menguruskan beberapa hal berkaitan tugasnya, beliau segera meninggalkan pejabatnya, tidak seperti kebiasaanya dimana beliau adalah antara yang paling akhir pulang. Beliau seperti memikirkan sesuatu, seketika kemudian Azri memecut Mini Coopernya dan arahnya bukan ke jalan pulang ke rumahnya. Selepas melepasi plaza tol Jalan Duta, Azri terus memecut ke arah Utara.

Pak Mat selesai menunaikan solat asar bersama-sama jemaah yang lain..seperti biasa dipanjatkan doa buat arwah isterinya dan juga keselamatan anak tunggalnya, Azri. "Mat! jom kita ke warung" tegur Pak Din sahabat karibnya "Eh…takpe la…aku nak ke kebun sekejap…nak menebas sedikit" balas Pak Mat lembut sambil menepuk bahu sahabatnya itu.

Azri terus memecut, sesekali dia membrek apabila terpaksa mengekori lori dan kereta lain di laluan laju lebuhraya. Fikirannya hanya tertumpu kepada ayahnya, Pak Mat…insan yang telah banyak berkorban dan berjasa. Kejadian 5 tahun yang lepas berulang-ulang diimbasnya, masih segar diingatannya dan rasa kesal yang amat sangat meresapi jiwanya.

Azri masih belum bekeluarga, umurnya yang telah mencecah 33 tahun sepatutnya sudah mempunyai keluarga. Namun Azri masih belum bersedia untuk itu. Beliau masih mengingati detik beliau berselisih faham dengan ayahnya dahulu, puncanya hanya desakannya untuk membawa ayahnya ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan intensif penyakit jantung. Namun keengganan Pak Mat membuatkan Azri hilang pertimbangan dan sedikit terkasar dengan ayahnya. Sejak detik itu, Azri berjauh hati dengan ayahnya, namun beliau masih mengirim duit setiap bulan walaupun Pak Mat tidak pernah menggunakannya. Dia hanya bertanya khabar tentang ayahnya melalui Pak Din, jiran dan rakan karib ayahnya.

Azri keluar melalui persimpangan Kuala Kangsar dan terus mengambil simpang ke arah Lenggong, ke arah rumah tradisi keluarganya. Tumpuannya hanya kepada ayahnya, tidak sabar rasanya untuk memeluk dan memohon maaf diatas kesalahannya yang lalu. Ketika melalui jambatan merentasi Tasik Raban yang menyajikan panorama indah dan keasyikan lagu "Pelangi Petang" nyanyian Allahyarham Sudirman yang berkumandang di corong radionya, Azri bagai dilanda pelbagai perasaan yang tidak menentu. Sungguh menyentuh perasaan! Namun semua itu masih belum dapat mengendurkan keresahannya.


Azri tiba di jalan masuk ke rumahnya tatkala senja mula bertamu, kicauan burung yang mula terbang ke sarang bagai meraikan kepulangannya. Sayup-sayup kelihatan bumbung rumahnya dan semakin hampir makin berdebar-debar perasaannya. Agak menghairankan apabila terdapat ramai orang kampung berkumpul di halaman rumahnya, dia tersentak dan mula berfikir sesuatu yang buruk berlaku kepada ayahnya…Ya Allah!Selamatkanlah ayahku….detik hatinya spontan!

Kepulangannya pada senja itu di sambut oleh Pak Din, dipeluknya orang tua itu sambil menangis teresak-esak. Pak Din hanya mampu menitiskan airmata tatkala Azri memeluk dan mengucup sekujur tubuh ayahnya yang diselimuti kain putih.

* Cerpen ini hanya nukilan penulis, tidak ada kaitan dengan sesiapa, samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Comments

Popular posts from this blog

Kenangan.

Awang

Kepulangan