Balik Kampung!

Selepas asar 18 Julai 2009, aku bersama abang aku memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman aku di Bera.

Masih setia berbekalkan enjin vvt-i 1499 cc tahun 2004, aku memandu dengan tenang. Selepas menjemput abang aku di Putrajaya, kami meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Temerloh.

Selepas berhenti solat di Hentian Sebelah Lanchang, kami menikmati keenakan ikan patin di Bandar Temerloh berteman hembusan angin Sungai Pahang. Persinggahan pertamaku di Temerloh selepas beberapa tahun.

Kami tiba di perkarangan rumah pusaka keluarga kami tepat jam 10.00 p.m. Rumah kosong yang tidak berpenghuni sejak pemergian ayahanda aku pada 8 Okt 2005.

Selepas bertungkus lumus mengemas dan membersihkan rumah tersebut, kami melelapkan mata bertemankan kicauan burung murai dan sesekali sayup2 kedengaran bunyi burung pungguk, mungkin sedang merindu bulan.

Loceng telefon tangan aku berdering tepat jam 6 pagi mengejutkan aku daripada tidur yang tidak bermimpi, aku basuh kaki sebelum tidur semalam. Selepas solat subuh, aku mengodek enjin mesin rumput dan terus membersihkan rumput rumpai disekeliling rumah, sambil abang aku mula menjejak buah durian dan rambutan.

Tepat jam 9 pagi, kami ke Kerayong untuk bersarapan. Sepinggan nasi dagang berlaukkan ayam masak merah menjadi pengalas perut kami pada pagi itu. Kemudian kami singgah di Masjid Lama Kerayong untuk menitipkan surah Al-Fatihah di pusara ayah yang bersemadi sejak 4 tahun yang lalu.

Selepas merayap-rayap di pasar pagi Kerayong, kami menyambung urusan yang tertangguh tadi. Aku meneruskan tugasan membersihkan sekeliling rumah dan abang aku pula mula mengumpul buah-buahan seperti durian, rambutan gading, cempedak dan tak ketinggalan beberapa papan petai.

Semuanya selesai tepat jam 12.00 p.m.

Selepas semuanya siap sedia, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Singgah sebentar di tanah perkuburan Masjid Kampung Mengkarak. Tanah perkuburan inilah bersemadinya sebahagian besar kasih sayang keluarga aku..arwah ibu, kakak, nenek, atuk dan anak saudara aku.

Kami meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sarat dengan buah tangan untuk diagih-agihkan. Selain daripada adik beradik kami yang bermastautin disekitar Lembah Klang, jiran-jiran tetangga tidak aku lupakan.

Walaupun penat dan tangan mengigil2 macam kena Parkinson akibat getaran mesin rumput, semuanya itu lenyap bila terkenang segala nostalgia yang terpaksa ditinggalkan di sana.

Comments

Popular posts from this blog

Kenangan.

Awang

Kepulangan